BISNES: Wang Anda dan Keluarga oleh Irfan Khairi


Dalam soal kewangan, keluarga memainkan peranan penting. Tidak cukup, seorang isi rumah sahaja yang peka dengan kewangan, tetapi sekiranya suami, isteri atau anak-anak tidak mengambil berat soal menjaga kewangan keluarga, pastinya gagal juga mencapai matlamat kewangan anda.



Sudah berlalu zaman "tak baik cakap pasal duit" dalam isi rumah. Suami dan isteri perlu tahu apa matlamat kewangan masing-masing, dan anak-anak juga patut ambil tahu kepentingan kewangan dalam keluarga.


Ketika anak masih kecil, biasakan si kecil menabung. Tidak semestinya mereka tahu jumlah wang, tetapi memadai apabila anda pulang dari rumah, dan mempunyai beberapa duit syiling dalam poket, berikan kepada anak kecil anda untuk masukkannya ke dalam tabung. Setiap hari, ibu atau ayah pulang dari rumah, anak memasukkan duit syiling ke dalam tabung.

Apabila anak semakin besar, beri peluang kepada anak untuk mula "buat duit" dari rumah. Mungkin tidak dengan cara aktiviti rutin harian seperti membasuh pinggan mangkuk selepas makan malam atau keluar buang sampah dan memebersihkan rumah- kerana aktiviti ini sepatutnya menjadi aktiviti keluarga. Tetapi, dengan memeberi upah pada kerja-kerja yang mungkin dilakukan seminggu sekali seperti mencuci kereta, mengemaskan laman dan lain-lain.

Apabila anak semakin membesar dan faham tentang wang, libatkan mereka dalam perbincangan kewangan. Sememangnya tidak perlu memberitahu jumlah atau nilai kewangan secara tepat, tetapi, galakkan mereka berfikir dalam bentuk yang lain. Sebagai contoh, cuti sekolah akan tiba tidak lama lagi, berbincang dengan keluarga perancangan aktiviti yang ingin dilakukan.

Mungkin ingin pergi melancong jauh, sekiranya dalam bajet anda, maka bincang cara bagaimana hendak meminimakan kos melancong. Ataupun ingin pergi di tempat yang lebih dekat dan dapat membelanjakan lebih sedikit wang pada perkara-perkara lain. Beri pilihan supaya anak dapat melihat pilihan hidup yang perlu dilakukan dalam soal kewangan.

Ada juga kes saya sering dengar dimana isteri amat peka tentang simpanan dan menjana pendapatan untuk keluarga, tetapi, si suami pula sering menggunakan wang untuk gajet-gajet serta keretanya. Tidak kurang juga keadaan di mana suami amat ambil berat kewangan keluarga tetapi isteri pula sering membelanjakan pada pakaian dan aksesori. Masalah kewangan adalah isu yang amat menekankan, sehingga menjadi antara sebab perceraian.

Oleh itu, matlamat kewangan antara suami dan isteri perlu sejajar. Satu cara untuk melakukan ini adalah untuk berikan masa setiap mingu untuk memantau kewangan keluarga. Pernah saya menyebut, masalah kewangan adalah seperti masalah kesihatan. Perlu di kesan pada tahap awal supaya tidak merebak dengan lebih teruk dalam keluarga.

*Sebarang komen boleh tinggal di ruang di bawah. Jangan lupa follow blog saya untuk dapatkan maklumat dan tip2 menarik.

No comments:

Powered by Blogger.