BISNES: Wanita dan Wang oleh Irfan Khairi

4:00 PM

Tidak seperti dulu, wanita hari ini mempunyai kuasa dan potensi menjana pendapatan yang lebih. Tidak dinafikan juga lebih ramai wanita yang bergelar graduan setiap tahun, serta ramai yang memanjat tangga korprat dalam setiap indstri. Kebanyakan keputusan belian untuk isi rumah juga dilakukan oleh wanita, dan ia juga dikatakan majoriti wanita menguruskan pembayaran bil keluarga.

Namun terdapat kajian mengatakan wanita masih kurang dalam membina kekayaan, melabur dan mempunyai perancangan kewangan jangka panjang. Mengapa ini terjadi?

Sifat wanita juga yang lebih berjaga-jaga dan berhati-hati membuatkan golongan ini sukar untuk mengambil risiko kewangan. Sememangnya sifat ini adalah baik terutamanya dalam meminimakan kerugian dalam kewangan. Sering juga dilihat bahawa lebih ramai golongan lelaki yang terjerumus dalam skim-skim pelaburan yang hanya meleburkan wang mereka sahaja.

Sifat berjaga-jaga dan berhati-hati ini merupakan asset yang amat berharga untuk golongan wanita lebih mendalami segala ilmu pelaburan sebelum membuat sebarang keputusan.

Oleh kerana golongan wanita merupaka pembuat keputusan belian dalam isi rumah seperti membeli belah pakaian keluarga, isi dapur dan pengurusan bil dan lain-lain,membuatkan mereka melihat transaksi kewangan jangka pendek sahaja dan kurang mengambil masa melihat pengurusan kewangan jangka panjang.

Satu lagi sebab yang mungkin membuatkan golongan hawa kurang mencapai matlamat kewangan jangka panjang adalah sifat kasih sayang wanita yang sering mengutamakan pada anak dan keluarga dalam jangka masa pendek. Semestinya sanggup berkorban apa sahaja termasuk kewangan demi kepentingan keluarga.

Sifat-sifat wanita yang disebutkan ini sememangnya merupakan satu anugerah yang tidak ternilainya. Namun, pada waktu yang sama ia juga boleh menjadi penghalang dari segi kewangan. Di zaman informasi ini, amat mudah mendapatkan infomasi di hujung jari sahaja. Golongan wanita zaman ini tidak lagi seperti dulu, dengan lebih ramai yang bergelar graduan, usahawan, ahli korporat dan juga surirumah yang amat peka dengan selok belok kewangan. Dalam memperkayakan diri dan keluarga dari segi kewangan, kita perlu perkayakan diri dengan ilmu kewangan! 

Artikel ini adalah ekstrak dari Majalah Metro, Harian Metro setiap hari Jumaat- jangan lepaskan kolum bersama Irfan Khairi!

No comments:

Powered by Blogger.